Daniel Arzani berada dalam keadaan cukup baik bagi memulakan perlawanan untuk Australia menentang Peru, malam esok, tetapi menghadapi cabaran berbeza sama sekali jika diberi peluang, kata bekas pemain skuad Socceroo, Josip Skoko.

Arzani, 19, mendapat pujian selepas membuat penampilan hebat sebagai pemain gantian ketika Australia seri 1-1 dengan Denmark dalam aksi Kumpulan C, Piala Dunia di Samara Arena, Khamis lalu.

Prestasi itu, di mana penyerang Melbourne City itu mencetuskan kreativiti Socceroos, menyebabkan pemain remaja itu dipanggil bagi memulakan pertarungan wajib menang pasukannya menentang Peru di Stadium Fisht, esok.

Skoko, bekas pemain antarabangsa Australia yang membuat penampilan 51 kali bersama negaranya, berasakan Arzani -- dihadkan kepada empat kali -- mungkin bersedia tetapi berkata pemain sayap itu akan menghadapi ujian berbeza jika disenaraikan dalam kesebelasan utama skuad Bert van Marwijk itu.

"Memulakan perlawanan adalah perkara yang sangat berbeza. Masuk sebagai pemain gantian selama 30 minit adalah satu perkara, dan beraksi 90 minit adalah suatu perkara lain," katanya kepada Omnisport.

"Saya tidak mahu mengatakan ya atau tidak tapi saya fikir dia layak mendapat masa perlawanan, mungkin lebih sedikit dalam setiap perlawanan.

"Untuk memulakannya, ia mungkin dengan cara lain, ia mungkin tidak adil untuknya jika dia tidak bersedia atau apa-apa sahaja.

"Saya fikir dia cukup baik untuk melakukan tugas itu jika mereka memulakannya, saya pasti dia akan melakukannya dengan baik. Sekali lagi, itulah yang diperlukan pasukan daripada segi keseimbangan dan saya pasti dia akan merangsang permainan," ujarnya.

Arzani, yang menikmati peningkatan pesat, dikaitkan dengan perpindahan ke gergasi Eropah, Juventus, selepas hanya membuat 24 penampilan dalam Liga-A untuk City.

Skoko berkata Arzani -- yang sudah memiliki gol antarabangsa -- mempunyai bakat permainan yang unik tanpa rasa takut.

"Saya masih ingat dia bermain dalam perlawanan persahabatan pada awal tahun ini menentang (kelab Victoria) North Geelong di Melbourne dan dia kelihatan sangat bagus, begitu tajam dan kemudian mempunyai musim yang hebat dengan Melbourne City. Begitulah ia berlaku," katanya.