Ketua jurulatih hoki negara, Arul Selvaraj, berdepan dilema untuk menggugurkan 12 pemain dalam kem latihan kebangsaan, selewat-selewatnya Sabtu ini.

Ia sepatutnya keputusan yang mudah memandangkan lima pemain tercedera tetapi pengendali berusia 46 tahun itu berhasrat mengekalkan kesemua mereka.

Selepas empat minggu mengadakan kem, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Shahril Saabah, dan Mohd Hafiz Zainol akibat kecederaan belum dapat turun berlatih sementara Amirul Aidid Arsyad dan Mohd Haziq Samsul baru dapat berlatih semalam, itu pun dengan kudrat terbatas.

"Saya kena tengok pemain yang perlu menjalani rawatan kecederaan, jika mereka terpaksa berehat beberapa bulan maka saya terpaksa menggugurkan mereka.

"Bagi pemain yang perlu diketepikan seminggu dua pula, saya akan pertimbangkan (peranan mereka)," katanya.

The Malaysian Hockey Tigers akan kekal di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sehingga 9 November depan sebelum Arul merangka perlawanan ujian dengan menghadapi pasukan Liga Hoki Malaysia (LHM) mahupun skuad remaja sempena persiapan mengharungi Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Dhaka Bangladesh, Mac depan.

"Tengku Ahmad Tajuddin dan Shahril adalah pemain berkualiti, kami tidak mahu kehilangan mereka," katanya lagi.