Mikel Arteta telah mencabar pemain termahal Arsenal, Nicolas Pepe, untuk menunjukkan etika kerja dan kemahuan untuk mencapai potensi terbaik.

Pepe menyinar bersama kelab Ligue 1, Lille, dalam dua musim sebelum ini, dengan menjaringkan 35 gol buat pasukan, sekali gus mengesahkan dirinya selaku bintang masa depan.

Walaupun banyak kelab besar dunia dikatakan berminat dengannya, Arsenal berjaya membawa pemain Ivory Coast itu ke England, Julai lalu, menjadikannya pemain termahal dalam sejarah kelab pada nilai GBP72 juta (RM394 juta).

Bagaimanapun, dalam 16 penampilan Liga Perdana Inggeris setakat ini, dia hanya mencatat tiga bantuan gol dan menghasilkan dua jaringan tatkala prestasinya tampak merudum.

Pengendali baru The Gunners, Arteta, diberi pujian selepas memberi impak besar kepada peningkatan Raheem Sterling dan Leroy Sane di Manchester City dan dia yakin Pepe mampu mencapai tahap sama jika dia mahu.

"Saya fikir, jelas sekali ia satu perubahan besar apabila dia datang dari Perancis ke sini," katanya.

"Malah, dia menemui pasukan dalam keadaan dia tidak mampu menampilkan prestasi terbaik, persekitaran tidak ideal dengannya, jadi ia bukan tentang dirinya sahaja.

"Kami di sini untuk membantunya. Jika dia mahu belajar, bekerja keras, saya pasti dia berpotensi ke puncak prestasi.

"Dia menunjukkan kemampuan yang boleh dicapai dalam dua atau tiga gerakan ketika diikat Bournemouth 1-1, 26 Disember lalu. Namun, dia perlu konsisten."

Arteta juga menambah: "Apa yang menjadi masalah adalah dia hanya yakin jika beraksi atau diyakini oleh pengurus. Jika dia berlatih bersungguh-sungguh, ia cukup untuk meyakinkan saya agar mempercayainya. Saya fikir ia adalah gabungan dua perkara.

"Namun, secara keseluruhan, corak permainan kami serta perkara yang kami lakukan adalah untuk membantu pemain.

"Kami tidak meminta barisan depan agar mencipta gerakan memukau tetapi mereka perlu beraksi untuk mengekalkan segalanya bersama dan tiba dalam posisi untuk mencipta situasi yang kami mahukan."


Editor: Nafis Abdullah