Mikel Arteta memuji tindak balas Arsenal selepas membuat permulaan awal buruk sambil memberi amaran mereka tidak boleh merelakan sebarang kekecewaan ketika bertandang ke Burnley, esok.

The Gunners mengelak empat kekalahan awal berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil kemenangan 1-0 ke atas Norwich City hujung minggu lalu termasuk menjaringkan gol pertama mereka musim ini.

Pasukan bimbingan Arteta itu akan diuji Burnley dengan reputasi belum pernah tewas dalam sembilan perlawanan liga di antara mereka sementara kali terakhir menempa kekalahan di Turf Moor ialah pada 1973.

Pengurus itu berkeyakinan penuh selepas mengalami pengalaman pahit pada awal kempen 2021-22.

"Pemain kini gembira kerana kami menerima reaksi positif daripada peminat dan memenangi perlawanan pertama selepas pencapaian buruk dalam EPL. Ia akan memainkan peranan besar dalam aksi berikutnya," katanya dalam sidang akhbar.

"Sekarang kami perlu meneruskan rentak bersama-sama dan kami sedar betapa pentingnya persembahan yang akan dijelmakan selain keputusannya.

"Cara semua orang di sekeliling saya bertindak balas adalah seiring cara saya bertindak balas, itulah sebabnya ia baik-baik sahaja. Ia sukar kerana anda ingin melihat sesuatu yang berbeza.

"Tetapi apa yang saya impikan tidak semestinya akan selalu tertunai. Segalanya mempunyai sebab tersendiri dan mungkin apa yang berlaku sudah ditakdirkan dan ia akan menjadi sangat baik untuk kelab. Kini kami perlu percaya dengan kemampuan sendiri.

"Saya benar-benar dapat melihat sinar di hujung terowong. Saya mahu memberitahu anda bahawa sepanjang masa saya sangat positif. Saya melihat sinarnya dan ia semakin terang. Mungkin ada kemalapan ketika menuju ke arah cahaya itu, tetapi saya melihat ia semakin terang."





Pasukan utara London itu juga memilih untuk mengetengahkan penjaga gol baru, Aaron Ramsdale, ketika bertemu Norwich selepas menandatanganinya daripada Sheffield United dalam jendela perpindahan itu, secara tidak langsung meletakkan Bernd Leno di bangku simpanan.

"Aaron datang ke mari untuk berusaha menjadikan kami lebih baik dan saya memutuskan untuk menurunkannya pada hari itu, itu saja," katanya.

"Setiap posisi juga begitu. Kami ingin mereka saling buat yang lebih baik. Kami bersaing dengan lawan kami, tapi tidak di sini.

"Kami berusaha meningkatkan tahap pasukan dan kelab ini.

"Bernd Leno patut kecewa tetapi dia harus menyokong rakan sepasukannya seperti yang mereka semua lakukan terhadapnya. Itulah yang dilakukannya."