Mikel Arteta percaya kejayaan terbesar Arsenal pada musim ini ialah mengekalkan perpaduan dan menyingkirkan mereka yang "cuba menyakiti kelab" sambil menegaskan memenangi Liga Juara-Juara (UCL) harus menjadi matlamat jangka panjang buat The Gunners.

Ia kempen yang mencabar untuk Arsenal, yang masih boleh menamatkan kempen kali ini di kedudukan ketujuh menjelang perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini menentang Brighton & Hove Albion, malam ini.

Begitupun, 13 kekalahan musim ini untuk pasukan yang menghuni tangga kesembilan itu selain perjuangan mereka dalam Liga Europa -- laluan terakhir mereka untuk layak ke pentas tertinggi Eropah, UCL, musim depan -- diakhiri Villarreal di peringkat separuh akhir.

Prestasi di atas padang sering tidak menyebelahi Arteta dalam musim penuh pertama kendaliannya, tetapi pengurus Sepanyol itu masih mampu memastikan hubungan erat dalam kalangan mereka kerana menganggap hubungan utuh merupakan aspek yang paling penting.

"Perkara terbaik adalah menjaga pasukan, kakitangan, pekerja dan semua orang agar terus kekal bersama," katanya.

"Ketika kami gagal menang, ramai pihak baik di dalam dan di luar sana yang cuba menyakiti kami.

"Ia untuk memastikan pasukan tetap bersatu, menghalang kritikan selain menjadi semakin mantap. Jadi saya rasa ia adalah satu pencapaian."

Pemain seperti Mesut Ozil, Shkodran Mustafi dan Sead Kolasinac antara mereka yang meninggalkan The Gunners pada Januari lalu tatkala pengurus dari Sepanyol itu cuba mengimbangi pasukan, namun dia tidak mahu menuding jari kepada mana-mana bekas pemain.

Bagaimanapun, ketika ditanya apakah ada pihak dalaman sendiri yang mencetuskan masalah, dia menjawab: "Tidak."





Arsenal ketinggalan lapan mata dengan pasukan keempat sambil memerlukan Tottenham dan Everton keciciran mata dalam usaha layak ke Liga Persidangan Europa yang sulung.

Sekalipun bergelut, Arteta masih memiliki cita-cita jangka panjang yang tinggi untuk membantu kelab London itu termasuk menakluk Eropah.

"Tidak mungkin ada cita-cita lain di kelab bola sepak ini.

"Sekiranya anda tidak mempunyai impian itu maka anda tidak akan dapat mencapainya," tambahnya.

"Hanya ada satu pemenang dalam UCL, begitu juga dalam EPL. Pasukan selebihnya dianggap gagal. Bagi mana-mana pasukan lain yang menduduki tempat kedua atau ketiga, ia bukanlah satu pencapaian besar.

"Persepsi itu kini berbeza, kedudukan ketiga atau keempat dalam liga ini juga dianggap satu pencapaian (tinggi). Adakah peminat setuju dengan itu? Mungkin tidak, tetapi bagi orang-orang dalaman yang bekerja keras setiap hari dan mengetahui tahap yang telah ditetapkan, pandangannya amat berbeza.

"Tahun lalu dengan 61, 62 mata, anda boleh menduduki tangga kelima liga dan hampir ke UCL.

"Tetapi musim ini anda tidak akan layak memandangkan tahapnya meningkat sepanjang masa."