Mikel Arteta berkata dia merupakan "satu jalan penyelesaian, bukannya masalah" selepas dibayangi hubungan keruhnya dengan Pierre-Emerick Aubameyang.

Penyerang itu, yang merakam 92 gol dalam 162 penampilan bersama The Gunners sejak dibeli daripada Borussia Dortmund pada Januari 2018 -- dibebaskan daripada kontraknya untuk menyertai Barcelona pada tarikh akhir jendela perpindahan musim sejuk.

Ia adalah satu tindakan drastik selepas pemain antarabangsa Gabon itu dilucutkan jawatan sebagai ketua pasukan di Stadium Emirates berikutan isu pelanggaran disiplin.

Aubameyang menundingkan jari ke arah Arteta atas pertengkaran itu dalam majlis perkenalannya di Camp Nou: "Saya fikir masalahnya berpunca daripada dia (Arteta).

"Dia yang membuat segala keputusan. Saya tidak boleh mengulas lebih banyak lagi. Dia tidak gembira, saya kekal tenang dan itu sahaja."



Bagaimanapun, bercakap menjelang kunjungan The Gunners ke Wolves dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi esok, Arteta sebaliknya menafikan tuduhan tersebut.

"Itu pendapatnya, itulah yang dia katakan dan anda perlu menghormatinya," katanya.

“Saya amat berterima kasih atas apa yang telah dilakukan Auba termasuk sumbangannya.

"Saya melihat diri saya sebagai satu bentuk penyelesaian, bukan masalahnya."

Bagaimanapun, kehilangan Aubameyang gagal ditampung hingga menjejaskan barisan serangan kelab London itu yang menyaksikan mereka gagal memenangi lima perlawanan bulan lalu selain tersingkir daripada Piala FA dan Piala Liga Inggeris (EFL).

Walaupun kurang mendapatkan pemain, Arteta tetap mempertahankan pendekatan kelabnya.

"Kami melakukan apa yang kami percaya adalah perkara yang tepat untuk dilakukan," katanya.

"Komposisi skuad dan kontrak makin meningkat, saya perlu berlaku adil kepada pemain yang tidak mempunyai banyak minit permainan."