ARSENAL 0 BURNLEY 0

Mikel Arteta kecewa dengan aksi hambar yang dipamerkan Arsenal ketika terikat 0-0 dengan Burnley dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates malam tadi.

Arsenal kelihatan akan kembali ke kelompok empat teratas sekiranya dapat menewaskan Burnley, yang tewas 1-3 dalam dua perlawanan terakhir di tempat lawan.

Bagaimanapun, The Clarets mempamerkan aksi kukuh dalam perlawanan kali ini, di mana penjaga gol mereka, Nick Pope, melakukan beberapa aksi menyelamat penting manakala Alexandre Lacazette pula terlepas peluang terhidang buat Arsenal.

Keputusan itu bermakna Arsenal kekal berada di tangga keenam EPL manakala Burnley pula di tangga tercorot walaupun berkelebihan empat perlawanan dalam tangan.



The Gunners mendaftarkan 20 percubaan dan lima daripadanya merupakan percubaan tepat tetapi mereka kini gagal menjaringkan gol sepanjang empat perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan. Ia merupakan kali pertama mereka berdepan rekod buruk itu sejak Disember 2005.

Arsenal juga gagal memenangi lima perlawanan pertama dalam setahun buat kali pertama sepanjang 27 tahun lalu dan ia juga merupakan kali pertama sejak Oktober 2008 mereka gagal menewaskan pasukan tercorot liga di laman sendiri.

"Kami bermula perlahan, kami kelihatan letih dan tidak mempunyai rentak yang mencukupi atau niat untuk menyerang seperti yang kami inginkan," kata Arteta kepada BBC Sport.

"Kami cuba melakukan perlbagai cara tetapi kami kekurangan kualiti di kawasan menyerang.

"Pada akhirnya, pada ketika kami bertahan jauh ke bawah, anda memerlukan sensasi dan kreativiti untuk memenangi perlawanan dan hari ini, kami tidak mempunyai perkara itu," katanya.