Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, mengakui segalanya boleh berlaku apabila membabitkan masa depan Alexandre Lacazette menjelang perlawanan 'derby' utara London menentang Tottenham, malam esok.

Kontrak tonggak dari Perancis itu berakhir pada akhir musim ini lalu dia dikaitkan dengan Juventus, Atletico Madrid, Barcelona dan Sevilla.

Justeru, Arteta tidak pasti sama ada Lacazette, yang telah menyumbat dua gol dalam tiga perlawanan, akan kekal.

Pengurus berbangsa Sepanyol itu berkata: "Kami membincangkannya secara tertutup. Musim ini masih panjang, semuanya boleh berlaku, semuanya masih terbuka."

Granit Xhaka bersedia untuk kembali membarisi skuad bagi pertemuan getir di Stadium Emirates, hujung minggu, selepas selesai menjalani penggantungan tiga perlawanan.

Arteta mempunyai sebuah skuad yang cergas sepenuhnya sambil mendedahkan berpuas hati apabila Xhaka tampil hebat dalam sesi latihan walaupun pemain tengah itu juga dijangkiti COVID-19 ketika tugasan antarabangsa dengan Switzerland bulan ini.

"Dia kembali dan sangat bagus (dalam latihan) kerana dia benar-benar gigih menjaga dirinya," kata Arteta.

"Dia mempamerkan sikap yang maksimum dan terbaik untuk beraksi dan memenangi perlawanan ini."




Tatkala The Gunners memenangi tiga perlawanan berturut-turut tanpa melepaskan satu gol pun, Spurs pula tewas dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan keputusan 0-3.

Arteta tidak percaya ini adalah masa yang tepat untuk menambah luka Tottenham yang sekadar memenangi satu daripada 28 pertemuan terakhir di gelanggang keramat seteru mereka itu.

Dia berkata: "Sebaik bola bergolek, saya rasa kami semua akan melupakan di mana kami berada, kami tumpu kepada perjuangan untuk memenangi perlawanan ini. Tiada bezanya dengan mereka."

Tambahnya: "Kami beraksi di laman sendiri, kami akan memiliki sokongan padu penyokong sendiri, mereka akan mewujudkan suasana luar biasa yang harus dinikmati, ia akan menjadi pendorong dan kami akan memanfaatkannya."

Bekas pemain tengah kelab London itu menjelaskan bahawa anak buahnya sangat menyedari betapa getirnya pertemuan ini.

"Saya akan memastikan bahawa mereka memahami maksudnya sejarah di antara kedua-dua kelab ini dan daripada segi emosi, apa maksudnya kepada semua penyokong kami," kata Arteta.

"Kami perlu turun dengan semangat sedikit berbeza kerana ada sesuatu yang dipertaruhkan."