Arsenal menandatangani pertahanan serba boleh, Takehiro Tomiyasu, daripada Bologna dan membenarkan Hector Bellerin untuk menyertai Real Betis secara pinjaman musim ini.

The Gunners dilaporkan mengeluarkan perbelanjaan bernilai £17 juta (RM97.05 juta) kepada kelab Serie A, Bologna, untuk mendatangkan pemain kebangsaan Jepun itu pada hari terakhir jendela perpindahan.

Tomiyasu, 22, sebelum ini dikaitkan untuk menyertai Tottenham tetapi memilih menyertai pasukan seteru London berkenaan dengan kontrak jangka panjang.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, berkata dalam laman web rasmi pasukan itu: "Takehiro seorang pertahanan kental dengan pengalaman yang baik dalam Serie A dan di peringkat antarabangsa.

"Dia pemain serba boleh dengan kualiti pertahanan yang besar, kemampuan teknikal yang tinggi dan ketenangan sewaktu mengawal bola.

"Dia akan menjadi ahli penting dalam skuad kami. Kami tidak sabar untuk menantikan Takehiro menyertai kami apabila dia selesai menjalani tugasan antarabangsa," katanya.

Pertahanan sayap sedia ada, Bellerin, telah meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu untuk pulang ke kampung halamannya, Betis.

Pemain berusia 26 tahun itu, yang menyertai pasukan London berkenaan sedekad lalu, memenangi tiga Piala FA sepanjang bersama The Gunners.

Penjaga gol, Alex Runarsson, dan pemain tengah, Reiss Nelson, turut dipinjamkan bagi baki saingan musim ini manakala Ainsley Maitland-Niles akan kekal di kelab itu.