ARSENAL 1 WATFORD 2

Malang berganda buat Arsene Wenger selepas Arsenal tewas mengejut 1-2 kepada Watford di tempat sendiri manakala Aaron Ramsey ditimpa kecederaan.


Pengurus dari Perancis itu sekadar menjadi penonton di Stadium Emirates kerana masih menjalani penggantungan perlawanan.

Skuad The Hornets hanya memerlukan 13 minit untuk memimpin permainan 2-0 menerusi sepakan percuma pemain pertahanan, Younes Kaboul, yang terbias daripada Ramsey sebelum Troy Deeney menyudahkan peluang dari jarak dekat.

Alex Iwobi merapatkan jurang pada awal separuh masa kedua untuk The Gunners mendomnasi permainan dan hampir menyamakan kedudukan apabila sepakan Lucas Peres dinafikan palang gol ketika berbaki lima minit menuju tamat waktu sebenar permainan.

"Dia mengalami kecederaan betis. Kami tidak tahu berapa lama dia akan berehat," ujar Wenger mengenai Ramsey.

Pengurus berusia 67 tahun itu, bagaimanapun, membidas aksi anak buahnya kerana gagal mengulangi rentak cemerlang mereka ketika membelasah Southampton 5-0 dalam saingan Piala FA, Sabtu lalu.

Ia merupakan kekalahan pertama mereka dalam saingan peringkat tinggi di tempat sendiri musim ini, secara tidak langsung pemburuan mereka untuk takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) semakin pudar.

"Jelas sekali kami tewas dalam perlawanan ini dan tidak begitu menjadi," katanya kepada BBC Sport.

"Kami kelihatan tidak bersedia secara mental untuk menghadapi cabaran ini. Kami tidak bertuah apabila dibolosi menerusi sepakan percuma.

"Kami memerlukan masa untuk memperagakan rentak sebenar kami, kami menguasai sepenuhnya separuh masa kedua dan tidak bernasib baik gagal menghasilkan apa-apa.

"Berdasarkan fakta, kami tewas dalam perlawanan ini. Apabila anda bermain di tempat sendiri, ini bukan sesuatu yang normal.

"Semua pasukan dalam EPL adalah sangat mantap dan 90 peratus adalah tidak mencukupi.

"Kami sedar kami perlu membuka permainan di bahagian sayap tapi kami kurang bersabar dan melakukan terlalu banyak hantaran jauh.

"Kami tidak menghantar bola dengan segera dan kalau kami kekal dengan gaya permainan kami, barulah kami sentiasa berbahaya.

"Di mana kedudukan kami selepas perlawanan ini? Kami kalah dan kami perlu bangkit dalam aksi seterusnya. Anda hanya berpluang jika anda memenangi perlawanan.

"Kami sedar mengenainya dan kami perlu belajar daripadanya."

Arsenal yang bakal berkunjung ke Stamford Bridge hujung minggu ini, tercicir sembilan mata biarpun dibayangi keputusan seri Chelsea dengan Liverpool, awal pagi tadi.