Kieran Tierney dijangka terlepas baki musim ini selepas Arsenal mengesahkan pertahanan itu memerlukan pembedahan lutut.

Tierney tidak beraksi semalam ketika harapan Arsenal untuk Liga Juara-Juara (UCL) menerima tamparan hebat berikutan kekalahan 0-3 di Crystal Palace.

Pemain Scotland itu mengadu rasa tidak selesa di lutut kirinya selepas sesi latihan Khamis lalu dan pengurus The Gunners, Mikel Arteta, sejurus kekalahan di Selhurst Park berkenaan mengakui tahap kecederaan anak buahnya tersebut "tidak kelihatan baik".

Kelab London itu kemudian berkongsi khabar buruk di laman sesawang yang berbunyi: "Penilaian dan imbasan lanjut mengesahkan Kieran mengalami kecederaan di lutut kirinya.

"Pakar kami telah berunding dan hasil perbincangan lanjut dengan Kieran dan pasukan perubatan, kami memutuskan Kieran memerlukan pembedahan di lututnya. Prosedur ini akan berlangsung di London dalam beberapa hari akan datang.

"Program pemulihan Kieran akan bermula sejurus selepas pembedahannya sebelum kami mengetahui tempoh pemulihan sebenarnya dengan lebih lanjut. Bagaimanapun, Kieran berkemungkinan terlepas baki musim ini.

"Semua orang di kelab ini akan menyokong dan bekerja keras bersama Kieran untuk membawanya kembali ke padang dengan secepat mungkin."




Arsenal turut mengesahkan situasi pemain tengah, Thomas Partey, sedang dinilai selepas mengalami kecederaan paha kanan ketika menentang Palace.

Susulan kekalahan di tangan Palace itu, Arsenal menduduki tangga kelima Liga Perdana Inggeris di belakang musuh ketat, Tottenham, menerusi perbezaan gol dalam perebutan tempat keempat yang juga merupakan kelayakan terakhir Liga Juara-Juara.

The Gunners, bagaimanapun, mempunyai satu perlawanan di dalam tangan berbanding Spurs.