Pierre-Emerick Aubameyang, Alexander Lacazette, Willian dan Alex Runarsson, kesemuanya tidak dapat beraksi kerana diuji positif koronavirus, demikian disahkan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, menjelaskan bahawa Aubameyang dan Lacazette berasa tidak sihat sebelum perlawanan di mana The Gunners tewas 0-2 kepada pendatang baru, Brentford, dalam perlawanan pembukaan EPL minggu lalu.

Ia kini disahkan bahawa gandingan penyerang itu antara empat pemain yang tidak dapat menyertai perlawanan itu selepas diuji positif COVID-19.

Aubameyang, yang menjaringkan 10 gol dalam 29 perlawanan liga musim lalu, kini telah diuji negatif dan boleh diturunkan menentang Chelsea hujung minggu ini.

Situasi Willian akan dipantau menjelang pertemuan menentang bekas kelabnya itu tetapi Lacazette dan Runarsson, kedua-duanya tidak akan beraksi dalam perlawanan 'derby' berkenaan.

Arsenal juga mendedahkan keadaan terkini pemain mereka yang tercedera, iaitu Gabriel, Eddie Nketiah dan Thomas Partey .

Partey dijangka akan kembali menjalani latihan pada penghujung bulan ini selepas mengalami kecederaan buku lalu dalam perlawanan persahabatan pramusim dengan Chelsea.

Nketiah, yang turut mengalami kecederaan sama, hanya akan memulakan latihannya pertengahan bulan depan manakala Gabriel pula sedang berusaha untuk kembali cergas bulan ini.