Arsenal menarik diri daripada Siri Jelajah Amerika Syarikat (AS) berikutan terdapat kes positif COVID-19 melibatkan individu yang menguruskan kunjungan mereka ke kejohanan itu.

The Gunners sepatutnya memulakan saingan Piala Florida dengan perlawanan menentang Inter hujung minggu ini sebelum bertemu Millonarios berselang tiga hari di Orlando.

Arsenal berkata dalam satu kenyataan bahawa ia satu "keputusan yang sukar" semata-mata untuk menjamin kesihatan dan keselamatan pemain dan staf kelab itu.

"Kami amat memahami betapa ia mengecewakan peminat kami di Amerika yang menantikan untuk kami bersaing dalam Piala Florida sebagai sebahagian daripada persiapan pramusim," kata kenyataan itu.

"Kami juga memohon maaf kepada pihak penganjur Piala Florida yang telah melakukan tugas terbaik mempersiapkan kejohanan ini dan rakan kongsi kami yang menguruskan acara di samping penyertaan kami dalam kejohanan ini.

"Kami maklumkan bahawa staf yang terlibat itu tidak menunjukkan sebarang gejala COVID. Mereka kini sedang menjalani pengasingan kendiri di rumah.

"Kami kini sedang mengusahakan satu alternatif yang sejajar dengan protokol Liga Perdana Inggeris untuk meneruskan persiapan menjelang musim baru."