Ketika mendapat penghormatan dikaitkan dengan Arsenal, pengurus Celtic, Brendan Rodgers, menolak khabar angin akan kembali ke Liga Perdana Inggeris apabila bekas bos Liverpool itu menegaskan dia menikmati kehidupan impiannya di Glasgow.

Dengan masa depan Arsene Wenger di Arsenal tidak menentu, Rodgers muncul sebagai prospek pengganti jika pengurus Perancis itu meninggalkan Stadium Emirates.

Rodgers -- yang juga pernah mengurus Swansea City -- bukanlah individu asing dalam bola sepak Inggeris, tewas dalam perebutan gelaran Liga Perdana 2013-14 ketika berada di Anfield.

Tetapi pengurus berusia 45 tahun itu tidak tergesa-gesa untuk kembali ke Liga Perdana apabila mahu memburu mahkota Liga Perdana Scotland yang kedua berturut-turut dan trofi kelima selaku bos Celtic.

"Ia menarik apabila orang fikir kamu boleh mengurus kelab-kelab yang dihormati," kata Rodgers kepada Daily Mail.

"Jika kamu gembira, itulah yang penting. Wang itu tidak relevan. Kamu boleh mempunyai jumlah pound 'X' di bank setiap bulan tetapi jika kamu tidak gembira dan kamu tidak menemui ketenangan dengan apa yang kamu lakukan, ia tidak begitu penting.

"Saya memang suka dengan Liga Perdana, kualiti pemain, kualiti jurulatih. Terdapat banyak cabaran. Tetapi ia perlu dibayar dengan harga yang tinggi oleh pengurus di sana.

"Kamu boleh datang ke sini dan cinta sejati saya membantu meningkatkan pemain dan menjadikan mereka lebih baik.

"Saya hanya mahu bekerja dengan orang baik yang mempunyai satu wawasan untuk pasukan dan kelab dan itulah sebabnya saya di sini. Saya tidak tergesa-gesa untuk keluar dari sini," katanya.

"Saya berada di posisi di mana saya berada dalam tugas impian saya. Sebagai seorang lelaki dari Ireland Utara yang menyokong Celtic dan bekerja dalam bola sepak, saya menikmati impian saya di sini.

"Saya mahu bekerja sehingga saya berusia 60 tahun dan mendapat beribu-ribu perlawanan. Saya tahu saya tidak akan lakukan 500 perlawanan di sini di Celtic. "

Tetapi Rodgers menambah: "Akan tiba masanya di Celtic di mana saya menyelesaikan semua yang boleh saya lakukan di sini."