Unai Emery menuntut Arsenal agar mengekalkan keamatan yang dipamerkan ketika mengalahkan BATE sempena pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Southampton.

Arsenal lolos ke pusingan 16 Liga Europa semalam menerusi kemenangan 3-0 di Stadium Emirates selepas gol sendiri daripada Zakhar Volkov dan usaha Shkodran Mustafi dan Sokratis Papastathopoulos.

Arsenal telah memenangi tiga daripada empat perlawanan terakhir kempen liga tetapi menuju ke perlawanan menentang Southampton esok dengan satu mata di belakang Manchester United -- yang akan menjadi tuan rumah kepada Liverpool pada hari yang sama -- untuk merebut kedudukan keempat.

Ketika kempen musim ini semakin di penghujungnya, Emery mengakui bahawa barisan pemainnya harus belajar untuk mengulangi aksi hebat mereka di tempat sendiri itu secara konsisten demi memenangi hati peminat The Gunners.

"Kami perlu mencipta perasaan yang baik dengan penyokong dan mewujudkan suasana yang baik di sini. Mereka melonjakkan semangat kami manakala kami menawarkan permainan berkualiti kepada mereka, sebab itulah hubungan kedua-duanya sangat penting," kata Emery.

"Saya ingin membangunkan kapasiti kualiti, tenaga dan keamatan dalam pasukan ini.

"Kami melaksanakannya lebih kerap di gelanggang sendiri tetapi konsistensi menjadi sasaran saya.

"Di tempat sendiri, kami telah mencipta pendekatan ini. Kami mahu pemain sentiasa memberi tekanan sepanjang 90 minit dan memberikan kesukaran kepada pihak lawan sepanjang perlawanan.

"Kami melakukan itu (ketika berdepan BATE) dan kami mempunyai banyak lagi perlawanan tetapi setiap pertandingan adalah bab yang baru.

"Ia satu cabaran baru dan saya lebih gemar merombak beberapa pemain esok sekiranya saya tahu mereka akan menawarkan keamatan ini."