Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas, menjelaskan bahawa Arsenal perlu membayar sebanyak EURO65 juta (RM311 juta) untuk mendapatkan khidmat Alexandre Lacazette.

Penyerang prolifik itu dilihat bakal menyertai Atletico Madrid tetapi keputusan Mahkamah Timbangtara Sukan telah menyekat sebarang perpindahan pasukan LaLiga itu.

Terdapat laporan yang mencadangkan bahawa Arsenal berada di landasan pertama untuk membawa Lacazette ke England tetapi Aulas menegaskan The Gunners perlu menyamai tawaran yang dilakukan oleh Atleti bagi mendapatkan penyerang yang berjaya meledak 28 gol dalam saingan Ligue 1 musim lalu itu.

"Saya tidak memiliki sebarang niat untuk menjual Lacazette kerana masih terdapat pilihan bahawa Atletico Madrid mahu mendapatkan khidmatnya pada 1 Januari 2018," kata Aulas.

"Saya juga mendengar apa yang dimahukan oleh pemain tersebut.

"Saya melihat pengurus Arsenal, Arsene Wenger, menyaksikan perlawanan di antara Perancis dan England. Saya memahami bahawa Arsenal dalam pencarian untuk mendapatkan khidmat penyerang baru.

"Tetapi kami akan cuba untuk menunggu Atletico. Mereka sedia membayar EURO53 juta dan bayaran tambahan sebanyak EURO12 juta. Pihak Arsenal telah dimaklumkan mengenai perkara ini dan mereka perlu menyamai nilai yang sama."

Lacazette telah menjaringkan sekurang-kurangnya 20 gol dalam saingan Ligue 1 buat musim ketiga berturut-turut untuk Lyon dan Aulas menegaskan Lacazette akan menjadi pembelian yang sangat berbaloi dengan kebolehan yang dimilikinya di depan gol.

"Harganya setimpal dengan apa yang mampu dilakukannya setiap musim.

"Tetapi, kami tidak memikirkan Arsenal buat ketika ini kerana saya berharap Lacazette akan terus bersama pasukan selepas perpindahan ke Sepanyol bersama Atletico gagal disempurnakan."