Pemain tengah Juventus, Arthur, menyatakan persetujuan untuk beralih angin ke Arsenal di sebalik Bianconeri masih ingin mengekalkannya.

Sumber dari Itali, Marco Conterio, mendedahkan kelab Serie A itu masih keberatan untuk melepaskannya biarpun pemain dari Brazil tersebut mengakui terpikat dengan projek Mikel Arteta di London utara berkenaan.

Ini kerana Juve masih menagih khidmat Arthur sekalipun kedudukannya di Turin masih terumbang-ambing dan percaya dia masih boleh memainkan watak penting buat mereka musim ini.

Malah, Juve tidak yakin dengan perjanjian pinjaman kerana ia tidak dapat menyuntik kewangan dalam usaha mereka mendapatkan pengganti, apatah lagi Juventus bergelut untuk tiket ke Liga Juara-Juara berikutan menduduki tangga kelima liga.

Oktober lalu, pemain kelahiran Brazil itu mengundang kemarahan pengurusnya, Massimiliano Allegri, hingga digugurkan untuk bertemu Venezia berikutan gagal menepati jadual latihan pasukan.