ARSENAL 2 WATFORD 0

Arsenal meledak dua jaringan ketika perlawanan berbaki 10 minit untuk mengatasi Watford 2-0 di Stadium Emirates semalam, sekaligus melakar lima kemenangan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).


Skuad kendalian Unai Emery itu gagal mempamerkan aksi berkualiti dalam separuh masa kedua dan terhutang budi di atas penampilan sulung Bernd Leno –- yang menggantikan Petr Cech yang mengalami kecederaan -- selepas menafikan dua percubaan Watford.

Perubahan nasib perlawanan yang kini memihak Arsenal berjaya menghadirkan gol pembukaan pada minit ke-81 dengan Craig Cathcart menjaringkan gol sendiri sebelum Mesut Ozil memastikan tiga mata penuh berjaya diraih.

Selepas bermula cemerlang musim ini -- menyaksikan mereka memenangi empat perlawanan pertama saingan EPL -- Watford kini gagal melakar keputusan positif dalam tiga perlawanan.

Selepas Alexandre Lacazette gagal menggunakan peluang terhidang pada minit ke-15, Watford mempamerkan aksi agresif mengawal rentak permainan The Gunners.

Leno tidak membazirkan masa selepas menggantikan Cech apabila berjaya menepis percubaan Troy Deeney dalam babak kedua perlawanan.

Watford melancarkan serangan balas selepas Lacazette sekali lagi melepaskan peluang Arsenal dan Leno sekali lagi muncul penyelamat tuan rumah apabila menghalang percubaan Andre Gray.

Hantaran silang Alex Iwobi gagal ditampan kemas Cathcart hingga menjaringkan gol sendiri sebelum Ozil memastikan kemenangan kelima berturut-turut mereka musim ini.