BENFICA 1 ARSENAL 1

Mikel Arteta memberi amaran kepada Arsenal supaya perlu lebih kejam selepas terpaksa berpuas hati seri 1-1 dengan Benfica dalam aksi Liga Europa di Stadio Olimpico.


Bukayo Saka menyamakan kedudukan selepas dua minit Pizzi membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti selepas bola terkena tangan Emile Smith Rowe yang cuba mengekang hantaran silang Diogo Goncalves dalam pertemuan pertama di Rom, awal pagi tadi.

Pierre-Emerick Aubameyang tidak mensia-siakan peluang gemilang untuk meletakkan The Gunners di depan dalam babak pertama dan ketua itu pasukan itu melepaskan beberapa peluang menarik lagi -- lima hari selepas meledak hatrik ketika menentang Leeds United.

Gol Saka dalam dua perlawanan di venue berkecuali itu berikutan kekangan COVID-19 memberikan sedikit kelebihan buat wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.

Pengurus Arsenal itu kecewa kerana anak buahnya melepaskan deretan peluang namun tetap menganggap ia satu keputusan yang baik menjelang aksi timbal balik di Stadium Georgios Karaiskakis, Athens, Jumaat depan.




"Kami begitu dominan dan menciptakan beberapa peluang terhidang," katanya kepada BT Sport.

"Kami harus bertindak lebih kejam lagi.

"Cara kami melepaskan gol juga mengecewakan. Kami kehilangan bola dan membiarkan mereka mengikat kedudukan 1-1 kemudian segalanya menjadi pertaruhan.

"Kami melepaskan satu sepakan sudut, kemudian dari situ kami tidak bertindak balas dengan segera sebelum menghadiahkan sepakan penalti. Sukar untuk menilai dalam situasi sebegitu. Kami bertindak balas dan menjaringkan gol hebat.

"Kami cuba mengekalkan tempo permainan. Kedua-dua pasukan lebih gemar bertahan dalam 20 minit terakhir tetapi pihak kami meninggalkan lapangan dengan lebih kekesalan."