Arsenal bersetuju melepaskan pemain tengah, Joe Willock, kepada Newcastle United dengan yuran yang dilaporkan bernilai sekitar £25 juta (RM146.91j).

Willock menghabiskan separuh musim 2020-21 secara pinjaman di St James' Park dan meledak lapan gol dalam 14 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk pasukan asuhan Steve Bruce berkenaan.





Pemain berusia 21 tahun itu hanya sekali menemui sentuhan penyudah dalam 40 perlawanan liga buat The Gunners sebelum berpindah ke seteru berkenaan, di mana dia hanya memerlukan 16 minit untuk mencetak jaringan sulung ketika menentang Southampton.

Willock mengakhiri kempen musim lalu menyumbat gol berturut-turut ketika berdepan Tottenham, West Ham, Liverpool, Leicester City, Manchester City dan Sheffield United untuk muncul sebagai pemain termuda yang menyumbat gol dalam enam perlawanan EPL berturut-turut.

Ketika meraikan jaringan pada hari terakhir musim lalu ke atas Fulham, dia menyamai rekod Alan Shearer (pada 1996) untuk diangkat sebagai satu-satunya pemain Newcastle yang meledak gol dalam tujuh perlawanan berturut-turut.

Bruce tidak berselindung dengan hasratnya untuk mengikat Willock secara tetap tetapi perlu bersabar terhadap bekas pemain muda England itu yang beraksi untuk Arsenal dalam pra-musim.

Justeru, dia belum bersedia untuk menghadapi West Ham malam esok.

Willock menjadi pemain pertama yang disambar dalam jendela perpindahan musim panas ini dengan perjanjian dikhabarkan selama enam tahun.