Arsenal melengkapkan pembelian Martin Odegaard daripada Real Madrid secara perpindahan tetap dengan yuran yang dilaporkan bernilai £30 juta (RM173.23 juta).

Pemain kebangsaan Norway itu, yang menghabiskan separuh kedua musim lalu secara pinjaman di Stadium Emirates, dipercayai bersetuju dengan kesepakatan selama empat tahun dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Odegaard kembali ke pasukan asalnya selepas tempoh pinjaman itu tetapi tidak terlibat ketika Madrid menewaskan Deportivo Alaves 4-1 dalam perlawanan pembukaan musim LaLiga minggu lalu.

Dengan terhad kepada lapan penampilan liga sejak menyertai Los Blancos pada 2015 -- kebanyakan waktu itu dilalui secara pinjaman di kelab lain -- pemain tengah menyerang itu kini sah meninggalkan ibu kota Sepanyol itu secara tetap.

Arsenal mengesahkan dalam laman web rasmi mereka semalam bahawa pemain berusia 22 tahun itu kini dapat diturunkan dalam perlawanan liga menentang Chelsea malam esok.

Odegaard melakukan 20 penampilan buat Arsenal dalam kesemua kejohanan selepas menyertai kelab itu secara pinjaman Januari lalu -- 14 daripadanya dalam EPL.

Dia menghasilkan satu gol dan dua bantuan jaringan selain mencipta 20 peluang sepanjang tempoh itu.