MAN UTD 3 ARSENAL 2

Mikel Arteta berasakan Arsenal tidak seharusnya tewas 2-3 kepada Manchester United dalam pertembungan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.


Arsenal menerajui perlawanan di Old Trafford itu menerusi voli dari jarak 20 ela daripada Emile Smith Rowe sambil David de Gea terbaring dengan kecederaan selepas berlaga dengan Fred.

Pengadil, Martin Atkinson, tidak meniup wiselnya hingga bola melepasi garisan dan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR), gol itu tetap diiktiraf.

Bagaimanapun, Bruno Fernandes menyamakan kedudukan United dalam penampilannya yang ke-100 buat kelab itu sementara Cristiano Ronaldo meletakkan The Red Devils di hadapan dengan gol ke-800 dalam kariernya.



Sentuhan pemusnah Martin Odegaard mengimbangi kedudukan keseimbangan tetapi kekasarannya terhadap Fred menghadiahkan sepakan penalti buat tuan rumah yang disempurnakan Ronaldo, sekali gus memberikan United kemenangan yang amat diperlukan dan menafikan peluang Arsenal untuk mendaki kelompok empat teratas EPL.

"Itulah situasinya. Apabila anda melepaskan tiga gol di Old Trafford, ia akan menyukarkan anda untuk meraih keputusan yang memberangsangkan," kata Arteta kepada Amazon Prime.

"Saya kecewa dengan cara kami melepaskan beberapa gol. Kami mempunyai beberapa detik yang sangat baik, kembali dalam permainan dan menjaringkan gol kedua dan kemudian kami mensia-siakannya. Kami memerlukan dua gol lagi untuk memenangi perlawanan dan kami tidak mampu melakukannya.

"Saya fikir kami kembali memperkemaskan permainan sejak perlawanan di Anfield (kalah 0-4 kepada Liverpool) memandangkan kami mampu mengekalkan rentap di tahap tinggi untuk tempoh yang lebih lama. Kami mempunyai peluang selepas menjaringkan gol tetapi kami kerap kehilangan bola. Apabila ia berlaku di zon bahaya, anda pasti dihukum jika berdepan lawan sebegini.

"Kami mempunyai struktur yang sangat baik. Kami memberi ancaman. Mereka tidak dapat mengatur gerakan kerana kami mempunyai struktur yang baik dalam serangan balas kami tetapi apabila kedudukan 2-2 dan kami terpaksa membina momentum, kami berjuang untuk memenangi perlawanan, kami akhirnya memberikan sepakan penalti.

"Terdapat banyak perkara yang saya gemari dalam perlawanan ini. Saya sangat menyukai tingkah laku pasukan, di tahap individu beberapa persembahan adalah sangat baik. Kami melihat beberapa detik yang sangat baik dalam perlawanan ini dan apabila menjaringkan dua gol di Old Trafford, anda menjangkakan untuk mendapatkan sesuatu daripada perlawanan ini. Ini adalah kekesalan tetapi ini adalah hasil kesilapan kami sendiri.

"Jika anda menontonnya, anda pasti akan mengatakan bahawa kami lebih layak daripada sekadar seri. Tetapi anda akan dihukum oleh lawan dan pemain seperti ini. Anda tidak boleh melakukan perkara tertentu yang kami mampu lakukan."

Ia kekalahan ke-25 Arsenal kepada United dalam EPL, lebih banyak daripada mana-mana seteru lain dalam sejarah kancah itu.