Mikel Arteta berharap Arsenal dapat meyakinkan Bukayo Saka untuk kekal di kelab itu biarpun mereka gagal menamatkan saingan di kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Kontrak Saka di Stadium Emirates dilaporkan akan tamat pada 2024 dan kelab itu berhasrat mencapai kesepakatan baru.

Bagaimanapun, laporan mengatakan pemain berusia 20 tahun itu berminat ke Liverpool dan Manchester City bagi memenuhi impiannya beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Baru-baru ini Saka memberitahu Sky Sports: "Saya rasa UCL mencipta banyak malam istimewa dan ia adalah impian bagi saya untuk mengalaminya dan semoga saya dapat mengecapinya dengan kerap."




Apabila ditanya sama ada kelab London itu memerlukan kempen UCL demi mengekalkan bintang muda, Arteta menjawab: "Saya tidak pasti. Kami akan mengadakan perbincangan dengan pemain, kemudian bersama ejen dan keluarganya yang akan menjadi satu pelantar sangat penting, jadi semua aspek memainkan peranan.

“Jelas sekali, keinginan kami adalah untuk mengekalkan Bukayo selama yang mungkin kerana kami sangat gembira bahawa dia merupakan sebahagian daripada kelab kami.

"Dia adalah DNA kami, sedang berkembang, semakin matang, kepentingannya dalam pasukan tidak boleh dipertikaikan lagi dan kami mahu mengekalkan bakat terbaik kami di kelab ini, itu sudah pasti."

Dengan kejayaan menundukkan Wolves 1-0 awal pagi tadi, Arsenal mendaki ke tangga kelima EPL setelah 22 perlawanan untuk satu mata dipisahkan dengan pasukan di tangga keempat, West Ham.