MILAN 0 ARSENAL 2

Arsene Wenger melihat Arsenal seperti peninju yang bangkit apabila ditumbangkan selepas menewaskan AC Milan 2-0 dalam aksi pusingan 16 Liga Europa (UEL), awal pagi tadi.


The Gunners mengawal permainan ketika meraih kemenangan di San Siro itu hasil jaringan sulung Henrikh Mkhitaryan buat kelab itu dan Aaron Ramsey.

Keputusan itu mengakhiri empat kekalahan berturut-turut Arsenal dalam semua kejohanan, termasuk kekalahan 3-0 kepada Manchester City pada dalam Piala EFL dan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas itu.

Pengurus Arsenal itu percaya pasukannya melalui waktu sukar dengan beraksi empat perlawanan dalam tempoh 10 hari tetapi gembira di atas persembahan pemainnya.

"Kemenangan yang amat diperlukan. Pada satu ketika, anda perlu bertindak balas," kata Wenger.

"Kami memenangi perlawanan ini tetapi masih belum layak ke pusingan seterusnya. Tetapi ia mampu melonjakkan semangat pasukan kerana kami telah tewas tiga perlawanan dalam tempoh enam hari.

"Di England, kami mempunyai sistem yang ganjil. Bermain aksi final pada pertengahan musim dan bertemu lawan yang sama dalam aksi seterusnya.

"Ia seperti pertarungan tinju. Tiada masa untuk pulih dan bernafas dan kemenangan ini meningkatkan semula keyakinan pasukan."