Ariff Farhan berpeluang barisi skuad utama Harimau Malaya

Shaiful Shamsudin
Oktober 1, 2021 10:09 MYT
Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe, memberi bayangan untuk menyenaraikan pertahanan kiri Kedah, Ariff Farhan Isa, dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Jordan mahupun Uzbekistan.
Sebelum berlepas ke Jordan lewat malam ini, Cheng Hoe berkongsi bersama wartawan Astro Arena, Karl Nunis, bahawa pemain itu berada di kemuncak prestasi selepas bergelut dengan beberapa siri kecederaan sebelum ini.
Pemain berusia 25 tahun itu antara salah seorang daripada tiga pemain yang dipanggil Cheng Hoe pada saat akhir dalam kunjungan ke Timur Tengah berkenaan, selepas kecederaan yang melanda Syahmi Safari dan Dion Cools.
Bekas tonggak utama skuad B-23 negara sebelum ini sering dihimpit masalah kecederaan sepanjang kariernya tetapi atas faktor aksi konsisten bersama Felda United musim lalu, Kedah kembali menyambar ubi muda mereka.
"Barisan jurulatih sentiasa memantau Liga Super dan dapatkan pandangan jurulatih kelab tersebut mengenai prestasi dan disiplin pemain.
"Ia satu kesegaran baru terbaik buat Ariff Farhan dan saya harap dia boleh memberi sesuatu kepada skuad kebangsaan kelak," katanya.
Ariff berpeluang cerah meraih penampilan pertama bersama skuad senior pada 6 dan 9 Oktober ini selepas kali terakhir dipanggil ke kem latihan pusat pada 2018.
#FAM #Harimau Malaya