Pertahanan Argentina, Federico Fazio, percaya Lionel Messi dan pasukan menampilkan sikap yang berbeza ketika meraih kemenangan ke atas Nigeria, kelmarin.

Messi membuka jaringan dan Marcos Rojo meledak gol pada penghujung permainan dalam kemenangan 2-1 untuk skuad Jorge Sampaoli itu lolos ke pusingan 16.

Fazio berkata perubahan terhadap pemikiran setiap pemain adalah sangat penting buat Argentina, yang bakal berdepan Perancis dalam pusingan kalah mati esok.

"Saya berasakan kami menampilkan semangat yang berbeza dalam perlawanan tersebut, bukan hanya oleh Messi, tetapi keseluruhan pemain dalam pasukan," katanya.

"Saya berasakan kami bermain baik ketika berdepan Croatia (tewas 3-0) tetapi kami meraih kemenangan dalam perlawanan terakhir untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Kami dapat melihat sebuah pasukan yang komited, berjuang bersama-sama dengan sikap yang berbeza dan Messi telah membantu pasukan," jelasnya.

Selepas bergelut di peringkat kumpulan, Argentina akan berdepan Perancis di Kazan sebagai naib juara kumpulan.