ARAB SAUDI 2 MESIR 1

Jaringan minit terakhir perlawanan memberikan kemenangan sagu hati buat Arab Saudi ke atas Mesir dalam aksi terakhir Kumpulan A, Piala Dunia di Volgograd Arena, sebentar tadi.


Ini merupakan kali pertama kedua-dua pasukan bertemu selepas Piala Konfedari 1999 dan kali ini, Arab Saudi dan Mesir berdepan dalam perlawanan Piala Dunia sebagai pelengkap jadual serta mencari kemenangan sagu hati.

Mohamed Salah terlebih dahulu membuka jaringan buat Mesir pada minit ke-22 apabila melakukan lambungan menewaskan penjaga gol, Al-Mosailem.

Arab Saudi berpeluang mengikat jaringan tetapi Fahad Al-Muwallad gagal menyempurnakan sepakan penalti sebelum Salman Al-Faraj menjaringkan gol penyamaan sebelum tamat separuh masa pertama.

Penjaga gol Mesir, Essam El-Hadary, yang menjadi pemain tumpuan dalam perlawanan ini selepas dia tampil sebagai pemain tertua dalam saingan Piala Dunia pada usia 45 tahun, menafikan sepakan penalti Fahad, di samping menampan enam percubaan tepat ke arah pintu gol sepanjang permainan.

Arab Saudi, yang lebih efektif ketika menyerang, meraih gol kemenangan pada penghujung perlawanan -- permainan hantaran pendek berjaya menembusi pertahanan Mesir sebelum Salem Al-Dawsari menyudahkannya untuk kemenangan pasukannya.