Cristiano Ronaldo sepatutnya meraih Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) berbanding Virgil van Dijk, kata Naib Presiden Juventus, Pavel Nedved.

Pertahanan Liverpool itu meraih anugerah berkenaan dalam majlis penyampaian di Monaco, awal pagi tadi, selepas memainkan watak penting ketika membantu The Reds menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah musim lalu selain membantu Belanda ke final Liga Negara-Negara Eropah.

Ronaldo mempamerkan semangat kesukanan tinggi meskipun terlepas gelaran itu dengan bergurau dengan seteru utamanya, Lionel Messi, dalam sesi temu bual di tepi pentas.

Nedved, bagaimanapun, tidak meragui pemilihan salah seorang daripada trio itu untuk meraih gelaran berkenaan.

"Saya jangkakan kemenangan Ronaldo, namun kami menerima segala-galanya," katanya kepada Sky Sport Italia.

Ronaldo menjaringkan hatrik ke atas Atletico Madrid bagi membantu Juve melepasi pusingan 16 Liga Juara-Juara musim lalu dan kedua-dua pasukan itu akan kembali bertemu dalam aksi peringkat kumpulan musim ini.

Juara Serie A itu turut diundi bersama Bayer Leverkusen dan Lokomotiv Moscow dalam Kumpulan D.

"Ia pusingan yang sukar, bukan mudah, namun tidak pernah ada perlawanan yang mudah dalam Liga Juara-Juara.

'Kami telah banyak berubah, kami mempunyai jurulatih dan pemain baru.

"Saya yakin kami mampu melakukannya dengan baik," katanya lagi.

Ketua jurulatih Juve, Maurizio Sarri, masih belum mengepalai pasukan itu dalam aksi kompetitif selepas menghidap pneumonia.

Dia terlepas kemenangan 1-0 ke atas Parma dalam perlawanan pembukaan hujung minggu lalu dan akan turut terlepas kunjungan ke pasukan lamanya, Napoli, awal pagi Ahad ini.

Bagaimanapun, Nedved percaya bekas pengendali Chelsea itu akan bersedia untuk mengambil posisinya ketika bertemu Fiorentina, 14 September ini, menjelang aksi pembukaan Liga Juara-Juara seminggu kemudian.

"Ia sememangnya benar, dia terlepas dua perlawanan pertama Serie A.

"Dia perlu diberikan ruang untuk pemulihan daripada pneumonia, saya tidak bergurau.

"Saya fikir dia akan kembali ke bangku pegawai selepas waktu rehat antarabangsa," katanya.