Penyerang Negeri Sembilan FC, Sean Eugene Selvaraj, memohon doa rakyat Malaysia agar jaringannya bertemu Selangor FC tersenarai dalam Anugerah Puskas.

Ini selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menghantar rakaman gol itu kepada FIFA untuk dicadangkan bagi pencalonan anugerah berkenaan.

Jaringan jarak jauh yang dihasilkan Sean itu berlaku dalam perlawanan Liga Super menentang bekas pasukannya Selangor FC pada 31 Julai yang lalu. Gol tersebut juga merupakan gol kemenangan buat Negeri Sembilan yang menumbangkan Selangor 3-2.

Pada 2016, pemain Penang FC, Faiz Subri, melakar sejarah apabila menjadi pemain pertama dari Malaysia memenangi anugerah Puskas -- sepakan percuma melencong melawan hukum graviti ketika mengatasi Pahang dalam saingan Liga Super merupakan jaringan yang terbaik pada tahun tersebut.