Xavi percaya Pedri layak merangkul Anugerah Budak Emas 2021 tetapi tidak mahu terburu-buru untuk menurunkan pemain tengah Barcelona itu.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu diundi sebagai Pemain Terbaik Eropah B-21 -- rekod baru dengan kelebihan 199 mata ke atas naib juara, Jude Bellingham.

Pemain berusia 18 tahun itu telah terbabit dalam 52 perlawanan di peringkat kelab musim lalu -- lebih banyak berbanding pemain lain dengan mengumpul empat gol dan enam bantuan jaringan.

Dia kemudian muncul sebagai pemain termuda untuk mewakili Sepanyol dalam kejohanan utama ketika menjadi nadi pasukannya dalam Euro 2020 selain melakukan paling banyak melakukan hantaran di kawasan lawan, 177 kali.

Pedri turut beraksi dalam Sukan Olimpik Tokyo dan membantu negaranya memenangi pingat perak.

Jadual padat mungkin telah membebankannya apabila dibelenggu masalah paha yang mengetepikannya sejak September lalu sekali gus menghadkan penampilannya kepada empat kali sahaja musim ini.

Pedri menandatangani kontrak baharu sehingga 2026 pada bulan lalu tetapi dilaporkan terjejas dalam tempoh pemulihannya dan mungkin perlu berehat sebulan lagi.




Xavi gembira kerana Pedri mempunyai sesuatu untuk diraikan dalam tempoh sukarnya dan akan mengalu-alukannya kembali ke dalam skuad, tetapi mengakui mereka tidak perlu tergesa-gesa.

"Saya gembira kerana dia sememangnya layak menerima Anugerah Budak Emas. Dia telah membuat perubahan dan merupakan seorang pemain yang luar biasa," kata pengurus itu.

"Ia adalah satu anugerah yang penting dan berprestij. Saya gembira untuknya memadangkan dia sedang mengalami masa yang sukar.

"Kami akan cuba mendapatkannya semula dengan secepat mungkin kerana dia merupakan pemain utama dan mampu membuat perbezaan. Saya tidak mempunyai tarikh tertentu tetapi apa yang penting kecederaannya tidak berulang lagi agar dia berasa tenang dan pulih 100 peratus."