Ansu Fati ratapi waktu terburuk dalam kariernya

Muzaffar Musa
Januari 25, 2022 05:39 MYT
Ansu Fati berasakan bahawa dia sedang melalui waktu terburuk sepanjang karier bola sepaknya selepas mengalami satu lagi kecederaan yang memaksanya untuk berehat panjang.
Pemain berbakat Barcelona itu dikeluarkan sewaktu perlawanan Copa del Rey menentang Athletic Bilbao minggu lalu, di mana kelab itu kemudian mengesahkan bahawa dia mengalami kecederaan otot paha.
Masih belum ada keputusan sama ada pemain berusia 19 tahun itu perlu menjalani pembedahan atau tidak tetapi berdasarkan laporan media antarabangsa, Fati berkemungkinan perlu berehat selama beberapa bulan.
Waktu rehat panjang seperti itu sudah pasti menjadi tamparan besar buat Fati, yang kelihatan mengalirkan air matanya sewaktu dikeluarkan ketika menentang Athletic, yang mana ia merupakan kecederaan terbarunya selepas beberapa kali terpaksa berehat panjang.
Pemain remaja itu hanya dapat melakukan 10 penampilan dalam kesemua kejohanan musim ini dan dia juga baru sahaja pulih selepas dua bulan menjalani pemulihan kecederaan hamstring.
Sebelum itu, dia juga terpaksa berehat selama 10 bulan disebabkan kecederaan lutut serius dan hanya dapat menyambung kariernya di Barca pada September lalu.
Di sebalik nasib malang itu, Fati berjanji akan tetap berjuang.
Dia menulis dalam satu kiriman Instagram: "Malangnya, saya sedang menghadapi waktu terburuk dalam bola sepak.
"Tetapi saya tidak akan mengalah. Terima kasih banyak atas segala mesej sokongan dan kasih sayang ini."
Satu pengumuman dijangka akan dilakukan hari ini bagi menentukan sama ada Fati perlu menjalani pembedahan atau tidak.
#bola sepak #Barcelona #LaLiga #Ansu Fati