Bekas presiden, Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, membidas golongan yang mengharapkan Kelantan akan menarik diri, sebaliknya menegaskan dia akan terus melakukan apa sahaja demi memastikan The Red Warriors (TRW) terus beraksi dalam Liga Super musim baru ini.

Annuar menerusi laman sosial Facebooknya hari ini beranggapan golongan berkenaan akan terus kecewa kerana dia tidak akan membiarkan perkara itu terjadi, malah berusaha memastikan TRW akan beraksi bersama empat pemain import yang berkualiti.

“Rupanya ramai yang cukup gembira bila TRW dilihat ‘bermasalah’. Tidak hairan kalau ‘lawan’ yang gembira tetapi ada juga ‘kawan’ yang tumpang gembira nampaknya.

"Bagi yang menganggap atau mengharap TRW hilang daripada persada liga, mereka bakal kecewa. Kami tidak akan membiarkan perkara itu terjadi.

“Kami akan tetap bantu sehingga TRW membentuk pasukan yang sesuai untuk bersaing di tahap Liga Super. Kami akan pastikan TRW tetap mampu membawa tiga lagi pemain import.

"Walaupun tanpa berbelanja besar, tidak bermakna kami tidak boleh mendapatkan pemain antarabangsa yang baik,” katanya.

Annuar memohon sedikit masa untuk menyelesaikan isu ini dan berjanji akan menggembirakan penyokong setia yang berdiri teguh di belakang KAFA.

“Beri masa sehari dua lagi, Insya-Allah ada sesuatu yang menggembirakan anda yang setia. Dan sedikit mengecewakan mereka yang mahu melihat kita gagal.

“Saya harap pemain dan pegawai bersiap sedia, bukan sahaja esok masih ada, malah esok yang lebih cerah buat TRW 2017,”katanya.