Sudah jatuh ditimpa tangga apabila Jawatankuasa Status Pemain, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam mesyuaratnya, Khamis lepas, mengarahkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyelesaikan tunggakan gaji tiga pemain dan seorang jurulatihnya berjumlah lebih RM190,000.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain, Md Dali Wahid, mengarahkan KAFA melangsaikan tunggakan gaji kepada Tuan Muhamad Faim Tuan Zainal Abidin, Mohd Khairul Izuan Rosli, Mohammad Faizal Abu Bakar dan Velizar Emilov Popov dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan diterima.

Tersentak dengan keputusan tersebut, Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa, dalam laman Facebooknya menyifatkan masih ramai yang tidak memahami situasi yang menimpa The Red Warriors (TRW) yang menyebabkan pasukan itu dipalit isu hutang yang serius.

“Masih ramai yang tak faham situasi KAFA. KAFA tidak macam pasukan lain yang diberi bajet tiap tahun untuk main bola. Mereka ada duit disediakan. KAFA tidak ada.

“Apabila musim 2015/16, ada penaja yang tidak membayar mengikut belanjawan yang dibuat (contohnya RM16 juta ketika itu), maka berlaku defisit (ketidakcukupan dana tahun berkenaan).

"Ini menyebabkan KAFA ‘terhutang’ dengan semua pegawai dan pemain skuad 2015/2016. Hutang ini dibawa ke hadapan dan tercatat dalam akaun tahunan KAFA.

"Bukan hanya dengan seorang dua yang buat bising dan mengadu sana-sini sahaja tetapi kalau tak silap saya, mungkin dengan 10 atau 11 pemain import dan jurulatih luar serta lebih daripada 10 pemain tempatan. (Ertinya terhutang dengan 20 hingga 30 individu),” katanya.

Annuar, yang juga penaja utama TRW musim ini, menjelaskan pihaknya bukan tidak mahu membayar tunggakan tersebut tetapi secara realitinya KAFA tidak mempunyai aliran wang tunai yang mencukupi untuk berbuat demikian.

“Tunggakan ini bukan pertikaian atau sesuatu yang KAFA tak mahu bayar tetapi KAFA belum atau tidak ada aliran wang tunai untuk bayar buat masa ini. Itu realitinya.

“Tajaan 2017 tidak cukup pun untuk pasukan 2017, macam mana nak guna untuk bayar hutang 2015/2016??,” katanya.

Annuar menerangkan sesetengah pemain tidak faham keadaan yang dihadapi majikan dan membawa kes tersebut untuk tindakan pihak atasan, seolah-olah KAFA tidak mahu membayar gaji mereka.

“Di sinilah sesetengah pemain tak faham dan mereka bawa ke atas seolah-olah KAFA tak mahu bayar. Mereka cuba dapatkan perintah. Mereka boleh bawa dan cuba dapatkan penghakiman seperti KAFA dikehendaki bayar sekian sekian dalam tempoh 14 hari dan sebagainya.

"Tetapi, isunya bukan KAFA tak nak bayar …kalau ada perintah dari langit sekalipun, KAFA tak ada duit nak bayar.

“Pernah seorang pemain pergi ke mahkamah dan berjaya dapatkan perintah mahkamah dengan membekukan akaun KAFA. Apa dia dapat? Membekukan akaun yang tak ada duit tak menyelesaikan apa-apa.

"Hingga hari ini, pemain tersebut tak dapat duit melainkan setelah beliau berunding elok-elok dan dapat bayaran secara ansuran,” katanya.

Bagaimanapun, Annuar mendedahkan sikap profesional bekas pemainnya, Brendan Gan, yang sentiasa memahami keadaan KAFA dan mengganggap isu tunggakan gajinya tidak perlu dibawa ke pihak atasan.

“Sebahagian besar pemain faham masalah ini dan mereka ada tunggakan jauh lebih banyak daripada Iwe Rosli (Mohd Khairul Izuan Rosli) atau Faim (Tuan Muhamad Faim Tuan Zainal Abidin). Tapi, mereka faham kedudukan sebenar dan sentiasa berbincang dengan KAFA.

"Misalnya, Brendan Gan. Dia cerita baik-baik dan faham dia tidak perlu bawa ke atas kerana KAFA tidak pertikaikan tunggakan, cuma KAFA belum mampu dan tetap ambil tanggungjawab dan bukannya melupakan hutang itu."

Annuar juga menyifatkan sehingga kini KAFA sudah mengecilkan bajet TRW supaya dapat bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) tetapi masih gagal mencari dana RM10 juta setahun.

“Sehingga kini, KAFA sudah kecilkan bajet sehingga menjadi pasukan Liga Super yang paling rendah bajetnya. Itupun, masih tidak mampu nak cari RM 10 juta setahun. Apa nak buat?

"Bola di Malaysia tidak dapat ditampung dari titik peluh pemain. Bola Malaysia ditampung dari titik peluh pengurusan yang cari ‘duit luar’ untuk tampung gaji pemain.

"Pemain bukan lagi bekerja untuk kelab buat duit yang cukup tetapi pengurusan yang kena kerja untuk pemain. Hasil daripada kutipan tiket tak sampai 10 peratus daripada bajet pasukan,” katanya.