Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, dalam status Facebooknya mengesahkan pemain import baharu, Seydi L’Imam, sudah menerima Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) dan hanya menunggu kelulusan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Saya diberitahu bahawa Imam sudah mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa. Sekarang menunggu kebenaran FAM untuk menggantikan Celin (Alessandro),” katanya.

Annuar, yang juga penaja utama The Red Warriors (TRW) musim ini, menjelaskan pertukaran ini akan membantu KAFA mengurangkan kos operasi ketika persatuan itu dihimpit masalah kewangan yang meruncing.

"Pertukaran ini akan mengecilkan kos serta dapat mengurangkan tanggungan KAFA dengan meminjamkan beberapa pemain ke pasukan lain untuk mengurangkan tanggungan. Semoga semua berjalan lancar,” katanya.

Pengesahan ini sudah pasti mengembirakan penyokong TRW untuk melihat aksi Imam bergandingan dengan Abou Bakr atau Bako mengemudi jentera serangan Kelantan bagi menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Minggu lalu KAFA yang diwakili oleh Pemangku Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah, telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam, bagi membincangkan beberapa isu yang timbul mengenai pasukan Kelantan, terutama bagi pendaftaran import baharu.