Pencalonan jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Tan Sri Annuar Musa dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila dua calon lain menarik diri daripada perebutan kerusi panas itu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat, mengesahkan tidak akan bertanding untuk jawatan itu dalam Kongres FAM, 25 Mac ini.

Annuar menjadi individu pertama menyerahkan borang pengesahan pencalonan kepada FAM minggu lalu.

Tetapi, ia tampak mengejutkan apabila Tunku Ismail diumumkan sudah mengesahkan pendiriannya untuk bertanding beberapa hari lalu dan bukannya pada tarikh akhir pengesahan calon pada petang ini.

"Dua calon presiden tersebut yang (sah) menawarkan diri, yang pertama, Tunku Ismail (Sultan Ibrahim), dan kedua, Tan Sri Annuar Musa. Saya telah berjumpa dengan TMJ di Johor," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Semua calon-calon yang bertanding jawatan presiden, timbalan, naib dan exco semua ini masih boleh menarik diri pada hari atau sebelum kongres bermula."

Sementara itu, Hamidin enggan mengulas mengenai keputusan Khairy dan Aseh yang menolak pencalonan jawatan itu.

"Ya, beliau (Khairy) ada memberi maklumat menarik diri. Mereka hanya mengatakan mereka menarik diri. Saya fikir calon itu sendiri (perlu) memaklumkan kepada media (mengenai sebarang alasan)," tambahnya.

Tarikh tutup bagi penyerahan borang penerimaan pencalonan bagi jawatan presiden FAM dan jawatan lain persatuan itu ditetapkan pada jam 5.30 petang, hari ini.