Kelantan mahu mencari kemenangan pertama menumpaskan pasukan pilihan, Selangor, dalam aksi ketiga pusingan pertama Piala Liga Bola Sepak Cina Malaysia Zon Utara di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, petang ini.

Ketua jurulatih, Anizan Daud berkata, biarpun Selangor dianggap pilihan untuk kejohanan kali ini, namun anak buahnya tetap mahu memberikan persembahan terbaik demi memburu kemenangan pertama di gelanggang sendiri.

“Memang satu perlawanan yang sukar menentang skuad Selangor petang ini kerana mereka terdiri daripada pemain yang berpengalaman dan sudah lama beraksi sebagai sebuah pasukan.

“Namun, saya yakin barisan pemain saya akan memberikan aksi terbaik untuk mencari kemenangan di gelanggang sendiri sebelum bersedia untuk pusingan kedua di Pulau Pinang nanti,” katanya.

Ditanya mengenai kelekaan benteng pertahanan yang mengakibatkan tuan rumah tewas tipis menentang Kedah petang semalam, Anizan yang juga dianggap legenda bola sepak Kelantan, mengakuinya dan berharap semua pemain dapat memberikan tumpuan 90 minit di atas padang.

“Biarpun Kelantan diwakili oleh pemain muda dan kurang berpengalaman, mereka mempunyai semangat tidak mudah kalah dan sentiasa belajar daripada kekalahan. Harap mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama petang nanti menentang Selangor,” katanya.

Dalam kejohanan kali ini, tuan rumah, Kelantan, bermula baik apabila mengikat Pulau Pinang 2-2 biarpun ketinggalan dalam separuh masa pertama untuk berkongsi satu mata.

Dalam aksi kedua menentang Kedah petang semalam, Kelantan tewas 0-1 hasil kesilapan benteng pertahanan, sekaligus memaksa Anizan melakar strategi baharu untuk mencatat kemenangan pertama di gelanggang sendiri, petang ini.