Pengurus Juventus, Andrea Pirlo, mendesak barisan pemainnya agar tidak merapati kekalahan memalukan 0-3 kepada Milan apabila menegaskan mereka masih berpeluang untuk meraih kedudukan empat teratas.

Milan meninggalkan Turin dengan kemenangan bergaya untuk kembali ke Liga Juara-Juara (UCL).

Ia adalah kemenangan sulung Milan di Juventus sejak Mac 2011 untuk gawang Bianconeri dirobek buat kali ke-11 berturut-turut -- pencapaian terburuk dalam masa 11 tahun.

Milan, yang menguasai tangga ketiga, kini memiliki kelebihan tiga mata sementara Juve di tempat kelima untuk satu anak tangga di depan pencabar terdekat, Napoli.

Tiga pasukan teratas termasuk Atalanta -- mendahului Milan atas perbezaan gol -- memiliki baki tiga perlawanan musim ini, lantas Pirlo ingin mengingatkan anak buahnya bahawa harapan mereka ke UCL masih belum berkubur.

Bercakap menjelang perjalanan ke Sassuolo, awal pagi esok, Pirlo yang berada di bawah tekanan mengatakan: "Juve harus mempamerkan perlawanan yang hebat, saya tidak mahu melihat mereka mengendurkan usaha.





"Kami masih mempunyai tiga perlawanan untuk diharungi dan kami satu mata dipisahkan dengan tiket UCL. Dalam bola sepak, saya telah melihat segala macam perkara, kami tidak boleh menunjukkan sebarang penurunan usaha sebaliknya perlu kekal positif.

"Kami masih berpeluang layak ke UCL, ia harus menjadi perkara yang paling penting.

"Memang kami teramat kecewa kecundang 0-3 kepada Milan. Dalam bola sepak, apa pun boleh berlaku, matlamat kami tidak akan berubah. Saya akan terus menggalas tanggungjawab ini. Kami mempunyai tugasan untuk mempercayainya hingga ke akhir.

"Esok, kami memerlukan persembahan yang membanggakan sebagai sebuah pasukan tanpa mengira siapa yang akan diturunkan.

"Kami harus menghormati seragam ini, kami tidak boleh memperagakan aksi seperti hujung minggu lalu."

Pergelutan Juve juga tidak dibantu oleh masalah dan kontroversi di luar padang.

Gergasi Serie A itu sedang menangani laporan kekeruhan hubungan di antara Pengarah Sukan, Fabio Paratici, dan Naib Presiden, Pavel Nedved, sementara Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina, mengancam untuk menyingkirkan Juve daripada Serie A sekiranya mereka masih enggan menarik diri daripada Liga Super Eropah (ESL).

Begitupun, Pirlo enggan memikirkan soal itu.

"Saya tidak mahu bercakap mengenai gosip dan khabar angin," katanya.

"Malah, saya tidak mahu terbabit dengannya.

"Ia adalah isu di luar padang, sasaran kami adalah dengan menunjukkan di atas padang dengan layak ke UCL, kami hanya dapat melakukannya dengan merakamkan keputusan positif."