Andik makin hampir tinggalkan Selangor

Penulis Jemputan
November 13, 2017 04:59 MYT
Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal, tidak menolak kemungkinan pemain sayap Indonesia, Andik Vermansyah, tidak akan bersama Selangor
untuk saingan Liga Malaysia musim depan.
Andik sebelum ini menyatakan tidak akan lagi bersama Selangor musim depan menerusi laman sosial instagram miliknya.
Subahan ketika ditemui menyifatkan Andik antara tonggak penting pasukan sejak menyertai Selangor pada 2014.
Namun, selepas berbincang dengan Andik dan ejennya, Subahan memberi gambaran FAS akan meleraikan ikatan dengan pemain itu musim depan.
"Saya berasakan masih terlalu awal dan telah berbincang dengan ejen Andik, kami difahamkan Andik telah menerima beberapa tawaran," kata Subahan.
"Pihak pengurusan Selangor sangat mudah, kami tidak akan memaksa mana-mana pemain untuk kekal kerana lebih banyak pasukan lain yang boleh menawarkan gaji yang lebih lumayan," katanya.
Sementara itu, Subahan mengakui skuad Selangor akan dibarisi ramai pemain daripada skuad Piala Presiden musim depan.
"Mungkin terdapat pihak yang mengatakan ia satu risiko yang besar diambil oleh Selangor. Kami bukan pasukan yang mengejar kejuaraan tetapi lebih mengutamakan kepada peningkatan persembahan pemain muda yang bakal mengharumkan nama negara pada masa akan datang," katanya lagi.
FAS kini berdikari mencari dana sendiri tanpa bantuan kerajaan negeri dan perlu mengendalikan perbelanjaannya secara berhemah.
Senarai akhir skuad Selangor untuk musim 2018 akan diputuskan FAS minggu depan.