Awang import Selangor, Andik Vermansyah, yang sebelum ini tersisih daripada skuad Selangor kerana kecederaan lutut, mengakui menerima tawaran beberapa kelab Indonesia dan juga Liga Super.

Namun, Andik tetap memberikan keutamaan kepada Selangor walaupun tiada jaminan dia akan kembali disenaraikan pasukan itu dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia, bulan hadapan.

Andik sudah hampir seminggu kembali menjalani latihan bersama Selangor dan turut beraksi dalam aksi persahabatan berdepan UiTM FC, semalam.

Tonggak skuad kebangsaan Indonesia dalam Piala Suzuki AFF 2016 itu kelihatan sudah bersedia beraksi berdasarkan aksinya dalam perlawanan itu.

Walaupun tidak kekurangan pilihan ke pasukan lain, Andik menjelaskan keinginannya untuk kekal bersama Selangor.

"Ada empat pasukan dari Indonesia dan dua pasukan Liga Super yang mahu mendapatkan khidmat saya tetapi saya tetap mahu bersama Selangor," katanya.

Andik menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk menentukan sama ada akan kembali menyenaraikannya atau tidak bersama Selangor ketika jendela perpindahan nanti.

Seandainya kembali tersenarai, Andik mengakui tiada masalah bermain di bawah kendalian P. Maniam, namun dia memerlukan sedikit masa untuk meningkatkan tahap kecergasan dan keserasian formasi 3-4-3 yang digunakan Selangor.

"Saya masih cuba menyesuaikan diri dengan formasi yang diterapkan oleh jurulatih, saya berharap dapat segera berada di tahap terbaik untuk membantu Selangor."