Pengendali Selangor, P. Maniam, mengesahkan pemain kebangsaan Indonesia, Andik Vermansyah, akan didaftarkan sebagai salah seorang awang import Selangor ketika pintu perindahan kedua Liga Malaysia yang telah dibuka semalam.

Maniam mengakui berpuas hati dengan kelibat Andik dalam beberapa aksi persahabatan setakat ini.

Kini, Maniam dan pihak pengurusan perlu menggugurkan salah seorang awang import Selangor untuk mendaftarkan Andik.

"Andik masih mempunyai kontrak selama setahun, dia akan menyertai latihan Selangor dan mungkin akan diturunkan berdepan Pahang nanti.

"Ketika ini, FAS sedang berbincang dengan (Francis) Forkey Doe, (Victor) Astafei dan (Juliano) Mineiro, dengan minggu ini kami akan membuat pilihan pemain mana akan digugurkan nanti," kata Maniam.

Dalam pada itu, kapten dan tonggak pertahanan Selangor, Razman Roslan, optimis skuad Gergasi Merah mampu terus memperbaiki kedudukan dalam saingan pusingan kedua Liga Super.

Kemampuan Selangor menduduki tangga keempat liga kini turut meningkatkan keyakinan pemain.

"Pada awal musim adalah untuk mengekalkan (kedudukan) dalam Liga Super, saya berharap kehadiran Andik kembali di dalam pasukan mampu membantu kami dalam usaha menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik," kata Razman.