Carlo Ancelotti tidak gembira melihat Barcelona terus bergelut sambil menuntut Real Madrid agar terus mempamerkan peningkatan.

Barca hanya meraih dua kemenangan dalam lima perlawanan pembukaan LaLiga musim ini selain ditundukkan Bayern Munich 0-3 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) minggu lalu.

Tekanan semakin meningkat terhadap pengurus, Ronald Koeman, selepas mereka buntu mencipta kemenangan ke atas Cadiz, keputusan yang mengheret pasukan gergasi Catalan itu ke ketujuh.

Pendahulu LaLiga, Madrid, kini tujuh mata di depan Barca di sebalik sudah bermain lebih satu perlawanan perlawanan, namun Ancelotti hanya fokus kepada mutu persembahan pasukannya sendiri.

"Saya tidak gembira jika mana-mana pasukan menempuhi tempoh yang buruk," katanya dalam sidang akhbar bertemu dengan Villarreal sebagai tuan rumah, awal pagi esok.

"Saya hanya fokus kepada pasukan sendiri. Jika semuanya tidak berjalan lancar untuk pasukan lain, baik Barca atau mahupun yang lain, ia tetap tidak membuat saya berasa seronok."

Real Madrid belum tewas dalam 24 perlawanan LaLiga. Kemenangan 6-1 ke atas Real Mallorca, kelmarin, menjadikan mereka dua mata mendahului juara bertahan, Atletico Madrid, di puncak menjelang kunjungan Villarreal.

Ia merupakan rekod tanpa kekalahan terpanjang mereka sejak mencatat rekod kebal 28 perlawanan di antara Mac 2016 dan Januari 2017.







Marco Asensio menjaringkan hatrik ketika menentang bekas pasukannya itu dalam pertemuan terakhir mereka, sementara Karim Benzema merakamkan dua gol dan mencipta dua bantuan jaringan.

Penggempur Perancis itu telah terlibat dalam 15 gol LaLiga musim ini untuk mengatasi pencapaian bekas rakan sepasukan, Cristiano Ronaldo (14), dalam enam perlawanan.

Meskipun pemain bintang itu akan mencecah usia 34 tahun pada Disember depan, tetapi Ancelotti berasakan sentuhannya semakin produktif seiring pertambahan usianya.

Ketika ditanya apakah Benzema merupakan pesaing untuk anugerah Ballon d'Or, Ancelotti berkata: "Atas apa yang pernah dia lakukan dan dicapainya, dia harus berada dalam senarai pendek.

"Tetapi Karim masih mempunyai masa untuk menggondolnya. Ini bukan musim terakhirnya. Dia seperti anggur -- ia menjadi lebih baik seiring berjalannya waktu."