Carlo Ancelotti tidak gusar mengenai situasi kontrak beberapa bintang veteran Real Madrid memandangkan Karim Benzema, Luka Modric dan Toni Kroos kini memasuki 12 bulan terakhir perjanjian mereka.

Jendela perpindahan ditutup semalam untuk pengurus Madrid itu meneruskan perjuangan kempen dengan bakat yang ada dalam kem berkenaan untuk sekurang-kurangnya hingga Januari depan.

Tetapi masih ada tugas yang perlu dilakukan dalam beberapa bulan akan datang sekiranya trio ini mahu dikekalkan selepas tamat kempen 2022-23.

Madrid mempunyai sejumlah pemain yang akan tamat kontrak pada akhir musim ini yang terdiri daripada Marco Asensio yang dijangka berpindah tetapi Benzema, Modric, Kroos dan Nacho dianggap nadi pasukan.

Benzema dilaporkan dijangka menandatangani lanjutan setahun, sementara Modric telah memperbaharui kontraknya dua tahun lalu.

Lantas, Ancelotti menganggap pendekatan ini sebagai wajar dan beryakinan pemain terbaiknya akan kekal di Santiago Bernabeu selagi mereka dikehendaki.

“Ada beberapa pemain yang berada pada tahun akhir kontrak mereka dengan kelab tetapi itu bukan satu isu,” katanya.



Ancelotti menambah: "Anda lihat Modric, Kroos, Karim, Nacho, mereka adalah pemain yang mahu kekal di sini hingga karier mereka berakhir. Kadang-kadang mereka menandatangani kontrak setahun.

“Saya tidak fikir mempunyai pemain pada tahun terakhir kontraknya adalah satu isu.

“Terdapat banyak kelab yang mempunyai pemain pada tahun terakhir kontrak mereka kerana anda perlu melihat ekonomi sesebuah kelab dan bagaimana kelab dikendalikan.

“Itulah sebabnya ketika ini kita melihat lebih ramai pemain mencapai tahun terakhir kontrak mereka.

"Lihat pemain veteran kami dan apa yang kami lakukan dengan mereka, kami memperbaharui kontrak mereka setiap tahun."