Carlo Ancelotti memuji sikap profesionalisme Gareth Bale selepas pemain Wales itu mendapat ejekan daripada sebahagian penyokong Real Madrid ketika melakar kemenangan menentang Getafe Sabtu lalu.

Bale merupakan pemain gantian pada minit ke-74 semasa kemenangan 2-0 di Santiago Bernabeu, menyempurnakan empat daripada lima hantaran dan melakukan dua percubaan, satu daripadanya menguji penjaga gol Getafe, David Soria dari jarak jauh.

Pemain berusia 32 tahun itu merupakan antara watak berperanan bagi Real, menjaringkan gol penting dan memenangi empat trofi Liga Juara-Juara sepanjang di Bernabeu, tetapi dia telah terlepas banyak aksi bola sepak kerana kecederaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bale juga telah memaklumkan dia lebih suka bermain untuk Wales berbanding kelabnya, dan dijangka menamatkan sembilan tahunnya di Madrid apabila kontraknya tamat pada penghujung musim.

Bercakap selepas perlawanan, Ancelotti enggan mengkritik penyokong, tetapi memuji Bale dan menegaskan dia akan terus bermain jika cergas.

"Penyokong sangat penting, seperti menentang PSG," katanya.

"Bale telah diejek tetapi dia seorang profesional yang serius dan jika dia sihat, dia boleh terus bermain."


Gol daripada Casemiro dan Lucas Vazquez mengesahkan kemenangan, yang mengembalikan kelebihan 12 mata Madrid di puncak LaLiga, dan Ancelotti berpuas hati dengan prestasi pasukannya, tetapi menegaskan perlumbaan kejuaraan masih belum berakhir.

“Kami lebih hampir [dengan gelaran],” katanya. "Ia satu rekod yang bagus tetapi ia belum berakhir, kami perlu terus berjuang, kami mempunyai dua perlawanan di tempat lawan sekarang dengan Sevilla dan Osasuna."

Perlawanan seterusnya Los Blancos adalah Selasa ini apabila Chelsea berkunjung ke Sepanyol untuk perlawanan kedua suku akhir Liga Juara-Juara (UCL), di mana Real mendahului agregat 3-1.