Carlo Ancelotti teruja dengan keazaman yang dipamerkan anak buahnya selepas Bayern Munich membelasah Chemnitzer 5-0 untuk melangkah ke pusingan kedua Piala DFB-Pokal.

Robert Lewandowksi meledak dua gol tatkala Bayern berpesta gol dalam babak kedua selepas hanya mendahului satu gol menuju masa rehat.

Ancelotti berpuas hati dengan anak buahnya yang terus memburu gol dengan Kingsley Coman, Franck Ribery dan Mats Hummels turut melakar nama selaku penjaring.

"Permainan yang baik daripada pemain saya -- kami bermain dengan perwatakan dan semangat yang baik," katanya.

"Dalam babak pertama, pihak lawan memberi saingan sukar kerana mereka bertahan dengan baik. Kami mula mencipta peluang dalam babak kedua."

Lewandowski turut mengakui meskipun meledak dua gol, corak bertahan lawan cukup baik sehingga mengganggu rentak permainan Bayern.

"Saya gembira kami menang," kata pemain antarabangsa Poland itu.

"Gol pertama itu amat penting. Pihak lawan bertahan dengan mantap, kami sukar mendapat ruang."