CELTA VIGO 1 REAL MADRID 4

Carlo Ancelotti menganggap Luka Modric tidak dimamah usia selepas mempamerkan aksi luar biasa ketika Real Madrid menewaskan Celta Vigo 4-1 dalam aksi LaLiga di Abanca-Balaidos awal pagi tadi.

Modric, 36, mengembalikan kelebihan Madrid sebelum ke bilik persalinan dengan ledakan jarak jauh dari luar kawasan penalti selepas Karim Benzema dan Iago Aspas menjaringkan gol penalti buat pasukan masing-masing.

Ia merupakan kali pertama pemain kebangsaan Croatia itu menjaringkan gol dari jarak jauh dalam dua perlawanan liga berturut-turut sejak Januari 2019, di mana dia ketika itu melakukan tiga jaringan jarak jauh secara berturut-turut.

Bahkan, lebih separuh daripada jaringan Modric bersama Madrid dalam kesemua kejohanan dihasilkan dari luar kotak penalti (18 daripada 32).

Dia kemudian meneruskan aksi cemerlangnya dengan hantaran gemilang yang disudahkan Vinicius Junior untuk menjaringkan gol ketiga Madrid.

Juara LaLiga dan Eropah itu bersetuju untuk menjual Casemiro kepada Manchester United tetapi Modric kelihatan tidak terkesan dengan pemergian rakan seposisinya dari Brazil itu.

"Jaringan Modric mengubah perlawanan ini," kata Ancelotti.

"Sebelum itu, kedua-dua pasukan tampak seimbang. Celta memberikan tekanan dengan baik tetapi keamatan itu menurun dalam babak kedua.

"Modric tidak dimamah usia. Dia sentiasa bersedia dan sentiasa beraksi baik," katanya.