Carlo Ancelotti mempertahankan pasukannya selepas keputusan merehatkan beberapa tonggak utama menyaksikan Bayern Munich tewas 0-3 di tangan Paris Saint-Germain (PSG).

Pengurus dari Itali itu bertandang ke Paris dan merehatkan Arjen Robben, Mats Hummels dan Franck Ribery untuk memberikan ruang kepada Javi Martinez, Niklas Sule dan James Rodriguez.

Kemasukan Robben dalam separuh masa kedua gagal mengubah kedudukan tatkala PSG telah mendahului 3-0 selepas Dani Alves dan Edinson Cavani menjaringkan gol dalam babak pertama sebelum Neymar menambah gol ketiga pada minit ke-67.

"Saya tidak rasa pemilihan pemain yang saya lakukan itu sesuatu yang berisiko.

"Saya banyak memikirkan tentang corak permainan terbaik yang perlu ditampilkan. Saya tahu saya akan menerima kritikan, tidak mengapa. Saya sangkakan ia adalah pemilihan terbaik untuk perlawanan ini," katanya.

Walaupun melakukan banyak asakan pada separuh masa pertama, Bayern gagal menahan serangan balas lawan menerusi Neymar dan Kylian Mbappe yang seringkali memberikan masalah kepada benteng pelawat.

"Kami tidak dapat menahan kekuatan serangan balas daripada mereka. Dalam babak pertama, kami berjaya menguasai perlawanan.

"Malangnya, ia tidak menghadirkan ancaman kepada lawan dan kami gagal menahan segala taktikal serangan PSG," kata Ancelotti lagi.