Carlo Ancelotti menyifatkan pertemuan di antara Bayern Munich dan Real Madrid dalam pusingan suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) akan menjadi satu perlawanan istimewa buat dirinya.

Pengurus Bayern itu telah membawa Real bergelar juara 'La Decima' -- kejuaraan UCL ke-10 selepas menewaskan Atletico Madrid 4-1 pada 2014.

Beliau kini dalam misi untuk mengulangi kejayaan Bayern pada tahun 2013 dengan merangkul 'treble' dan bakal berdepan tugas getir -- termasuk berdepan bekas penolongnya dan kini pengendali Real, Zinedine Zidane.

"Perlawanan bertemu Real akan menjadi sesuatu yang istimewa buat saya. Saya tidak sabar untuk berdepan mereka," katanya.

"Kami memerlukan tahap keyakinan yang tinggi dan memenangi UCL musim ini.

"Saya berpendapat pasukan memiliki kebolehan untuk menewaskan Real Madrid. Tetapi mereka adalah pasukan yang kuat dan memiliki seorang jurulatih yang berkualiti.

Pengendali berusia 57 tahun itu, yang sudah memiliki tiga pingat UCL, dua daripada ketika mengendalikan AC Milan, dilihat memiliki pasukan yang berada di tahap terbaik selepas mempamerkan kualiti sebenar ketika menyingkirkan Arsenal dengan agregat 10-2 dalam pusingan kalah mati.