Jurulatih Bayern Munich, Carlo Ancelotti, berasakan aksi hambar dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Atlectico Madrid malam tadi, menyaksikan mereka perlu membayarnya dengan kekalahan 1-0.

Juara bertahan Bundesliga itu telah memenangi semua lapan perlawanan sebelum turun membuat perhitungan bersama Atletico, dengan jaringan tunggal daripada Yannick Ferreira Carrasco memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan tuan rumah di Vicente Calderon.

Bayern mencipta beberapa peluang keemasan dan juga berjaya untuk mendominasi permainan. Bagaimanapun, Ancelotti melahirkan rasa kecewa terhadap anak-anak buahnya yang gagal untuk menggunakan kelebihan apabila menguasai bola serta kurang menyengat ketika mencuba untuk memenanginya kembali.

"Kami mengawal perlawanan tetapi pemain yang beraksi di bahagian bawah gagal untuk menyengat ketika cuba untuk mengasak. Kami tidak mempunyai keazaman yang cukup tinggi. Kami sering kehilangan bola dan pemain beraksi dengan kurang bertenaga," katanya.


"Ia adalah perlawanan yang sukar, seperti yang kami jangkakan. Kami boleh beraksi dengan lebih baik. Kami kehilangan bola dan kami berjaya untuk melakukan percubaan tepat.

"Mereka menjaringkan gol dan saya berasakan kami mencuba untuk merapatkan kedudukan tetapi kami beraksi terlalu perlahan dan sebab itu, saya tidak fikir kami mempunyai terlalu banyak peluang untuk kembali menyaingi.

"Kekalahan sentiasa menyedihkan. Anda pastinya tidak mahu kalah. Kami perlu menilai semula perlawanan, melihat kembali apa yang telah kami lakukan dengan baik dan apa yang tidak kami lakukan menjelang perlawanan yang akan datang.

"Kami beraksi dalam landasan yang tepat pada permulaan musim. Kami masih mempunyai peluang untuk berada di tangga teratas kumpulan dan kami perlu menewaskan Atletico dalam aksi timbal balik untuk mendapatkannya.

"Menentang Atletico, anda perlu beraksi dengan pantas dan menggunakan semua peluang yang ada. Ia bukanlah prestasi yang terbaik tetapi ia merupakan satu perlawanan. Aksi yang seterusnya pastinya akan menjadi lebih baik."

Kemenangan itu adalah kemenangan kedua Atletico ketika menentang Bayern tahun ini, selepas mereka mencatatkan kemenangan 1-0 dalam perlawanan pusingan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu di ibu negara Sepanyol.

Arjen Robben, yang masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua, menggesa rakan-rakan sepasukannya untuk mengambil pengajaran daripada kedua-dua kekalahan tersebut menjelang perlawanan Bundesliga menentang Cologne pada Sabtu.

"Ini adalah satu perlawanan yang besar untuk peringkat kumpulan. Ia seperti aksi separuh akhir musim lalu, dan kami dapat melihat mengapa kami tewas," kata pemain kebangsaan Belanda itu.

"Kami bermula dengan baik, kami agresif dan kami mempunyai peluang -- anda perlu membawa lawan bermain seperti itu, sama seperti Atletico lakukan. Kami perlu belajar daripada kekalahan tersebut. Pada hari Sabtu, kami mahu mencari kemenangan semula."

Atleti kini mempunyai kelebihan tiga mata di hadapan Bayern dalam Kumpulan D selepas memperoleh dua kemenangan setakat ini, dengan Rostov dan PSV jauh di belakang apabila meraih keputusan seri 2-2.