Penyerang Selangor, Amri Yahyah, tidak menganggap hanya pengalaman menjadi kunci kemenangan 3-0 ke atas MOF FC dalam aksi pusingan kedua Piala FA, Ahad lalu, sebaliknya ia adalah hasil kerja keras sepasukan.

Meskipun tahap aksi kompetitif Selangor dilihat lebih tinggi berbanding tuan rumah, dia beranggapan kemenangan itu tidak akan hadir sekiranya hanya berlandaskan pengalaman tetapi ia adalah usaha mereka untuk bangkit daripada dua kekalahan Liga Super kepada Terengganu dan Pahang sebelum ini.

Semestinya, gol pembukaan daripada Amri sendiri mencetuskan semangat berterusan kepada rakan sepasukan untuk terus merobek gawang lawan.

"Setiap pasukan memiliki pengalaman dan kami tidak boleh mengambil mudah cabaran pasukan seperti MOF kerana mereka akan memberikan cabaran yang sengit.

"Kami bergelut untuk mencari gol dalam babak pertama dan mujur dapat bangkit untuk menang," kata Amri.

Apa yang pasti, prestasinya sendiri masih belum memberi kepuasan dan perlu dipertingkatkan lagi dalam misi memburu kemenangan berdepan Perak dalam aksi Liga Super, Ahad depan.

"Bagi saya, masih ada banyak yang boleh disumbangkan kepada pasukan. Saya berharap bantuan daripada rakan sepasukan boleh membantu dalam memberikan aksi terbaik buat Selangor."