Kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah, mengakui dia mencuba pelbagai cara untuk mengubah kedudukan semasa yang tidak memihak Selangor dengan merujuk kepada jaringan kedua skuad itu yang dibatalkan pengadil ketika tewas 4-3 kepada Kedah dalam Liga Super di Stadium Cheras, semalam.

Jaringan menggunakan tangan yang dibatalkan pengadil, Fitri Maskon, turut menyaksikan Amri dilayangkan kad kuning.

Amri mengakui dalam apa jua situasi, usaha untuk mengubah kedudukan yang tidak memihak kepada pasukan adalah keutamaannya.

Itulah yang berlaku pada minit ke-79, namun jaringan itu dibatalkan Fitri.

"Bila pakai tangan nasiblah. Orang lain pun pakai tangan juga. Tetapi apa-apa sahaja boleh berlaku.

"Mungkin, kalau pengadil leka -- perkara ini pernah berlaku. Saya hanya cuba sedaya-upaya untuk menjaringkan gol tetapi itu yang berlaku," kata Amri.

Dalam pada itu, kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar, memuji aksi yang dipamerkan skuad Hijau Kuning.

Menjelaskan aksi pada bulan puasa bukan perkara mudah ekoran keletihan, namun situasi itu tidak dijadikan halangan buat Kedah.

"Bermain di bulan yang berkat ini, ia boleh dikatakan menguji kecergasan pemain. Saya memuji semua pemain pasukan Kedah dan Selangor kerana bermain dengan cemerlang pada malam ini," katanya lagi.